SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali beroperasi selepas bacaan bau tahap 0 Ton direkodkan tiga kali berturut-turut di Sungai Semenyih.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan proses pembersihan sistem rawatan air bagaimanapun perlu dilakukan terlebih dulu.
“Pembersihan dan rawatan air di loji berkenaan akan mengambil masa kira-kira 14 jam.
“Proses itu bagi memastikan air terawat dapat diagihkan kepada para pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sehubungan itu, pelan pemulihan bagi kawasan terjejas akan dimaklumkan Air Selangor pagi esok.
“Bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna, pelan mitigasi turut diaktifkan dengan mengagihkan bekalan air alternatif daripada LRA Langat 2 dan LRA Labohan Dagang ke sebahagian kawasan di Hulu Langat serta Kuala Langat.
“Pengguna di Kajang Baru, Kajang, Semenyih dan Beranang di Hulu Langat serta Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Pulau Carey di Kuala Langat akan menerima bekalan air alternatif secara berkala,” kata kenyataan itu.
Air Selangor turut menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna dan premis kritikal yang terlibat.
Sebanyak 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
Terdahulu, LRA Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau pukul 12 tengah hari tadi.
Keadaan itu menyebabkan sebanyak 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Ia melibatkan 194 kawasan terjejas di Sepang, Petaling (172), Hulu Langat (54), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan punca sebenar pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA itu belum dikenal pasti setakat ini.
Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.
Para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.