Dalam beberapa minggu ini, kita disajikan dengan beberapa episod pertelingkahan rakan-rakan industri seni yang agak menyeramkan. Sampai saman-menyaman dan berbalas amaran lagi. Aduh, jangan begitu.
Kita faham , setiap orang ada pendapat masing-masing dan tidak salah jika kita meluahkan apa yang dirasa. Tetapi jika boleh jadi fitnah dan membawa kepada kebencian, elok pendam sahaja luahan itu.
Bukan apa, industri seni tempatan tidaklah sebesar mana. Jadi kalau hendak bermasam muka, berbalas sindiran, kalau berjumpa nanti takkan nak tarik rambut pula? Kan tak manis itu?
Sudah-sudahlah bergaduh. Ada baiknya kalau kita saling menurunkan ego dan kembali menjalin persahabatan seperti sedia kala. Kadang-kadang kita sebagai peminat risau, perhubungan jernih kini bertukar keruh.
Poklip fikir, masing-masing pun sudah lama dalam industri. Sudah tahu selok belok, pahit manisnya. Jadi untuk apa kita saling bertikam lidah. Kecuali kalau anda adalah seorang anti vaksin, layak diberi amaran.
Lagi satu, Poklip pantang betul segelintir pempengaruh atau influencer yang rasa diri paling hebat sampai merendah-rendahkan orang lain. Awak fikir duit sahaja ke boleh beri bahagia? Tak baik tau!
Tapi rakyat Malaysia berhati mulia. Lepas kecam bagai nak rak, sekali si polan minta maaf, laju sahaja melupakan. Murah sangatkah perkataan maaf? Lepas ini kita buat kontroversi, lepas itu minta maaf. Habis cerita!