Lelaki kelar bapa kandung direman - Utusan Malaysia

Lelaki kelar bapa kandung direman

SUSPEK yang menikam dan mengelar bapanya sendiri dikenakan perintah reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Bachok hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Lelaki sakit mental yang bertindak mengelar dan menikam bapa kandung selepas berang mendengar tangisan kanak-kanak di rumah mereka di sini semalam, direman tujuh hari hingga Selasa depan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 28 tahun dikeluarkan Majistret Mohd. Dinie Syazwan Ab. Shukor di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Suspek berpakaian lokap ungu itu tiba di mahkamah diiringi polis pada pukul 9.10 pagi kelihatan tenang ketika dibawa masuk ke bilik saksi.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, mangsa berusia 66 tahun cedera pada bahagian leher, kepala, telinga, tapak tangan dan lengan kiri akibat dikelar dan ditikam suspek yang merupakan pesakit mental.

Mangsa kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sebelum kejadian, suspek dikatakan memarahi anak saudaranya berusia empat tahun yang sedang menangis, dan perkara itu mencetuskan pertengkaran antara suspek dengan mangsa dan seorang lagi anak saudara perempuan berusia 16 tahun.

Suspek yang hilang sabar bertindak memukul bapanya dengan tangan sebelum pergi ke dapur untuk mengambil sebilah pisau lalu menyerang mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin, polis merampas sebilah pisau yang berukuran 20 sentimeter yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam dan mengelar bapanya.

“Siasatan mendapati, suspek merupakan seorang pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak lima tahun lalu. Lelaki itu perlu pergi ke hospital untuk mengambil ubat setiap enam bulan sekali.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan membunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya