LUMUT: Seorang lelaki hilang selepas terjatuh ke dalam laut setelah bot dinaikinya berlanggar dengan sebuah bot lain di Selat Dinding dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, bot dinaiki V. Subramaniam, 50, bersama isteri dan seorang anak lelakinya dalam perjalanan dari Kampung Bharu, Sitiawan, menuju ke perairan Pulau Pangkor sebelum bertembung dengan bot dinaiki lima lelaki yang keluar memancing.
Pelanggaran berhampiran jeti sebuah kilang tepung di situ mengakibatkan bot dinaiki lima pemancing terbalik manakala Subramaniam terjatuh ke dalam laut.
Kelima-lima pemancing itu diselamatkan nelayan berhampiran dan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) serta dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diberikan rawatan.
Mangsa yang difahamkan tidak memakai jaket keselamatan bagaimanapun gagal ditemukan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Khairul Azizi Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.25 malam dan kejadian berlaku kira-kira 400 meter dari jeti kilang tepung atau kurang tiga batu nautika dari pantai.
“Berikutan kejadian itu, seramai 16 anggota dari BBP Sitiawan dan BBP Pantai Remis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Kami turut dibantu enam anggota termasuk penyelam dari BBP Pulau Pangkor selain agensi berkaitan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, SAR ketika ini lebih tertumpu di lokasi pelanggaran bot itu serta kawasan sekitarnya. – UTUSAN ONLINE