Lelaki ceroboh hutan simpanan ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki ceroboh hutan simpanan ditahan

SEBUAH jengkaut yang digunakan oleh seorang lelaki untuk kerja-kerja pembersihan dan meratakan dirampas di Hutan Simpan Terenas, Sik semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang leka melakukan kerja-kerja membersih dan meratakan tanah secara haram ditahan di Kompartmen 12, Hutan Simpan Terenas, Sik dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 49 tahun itu dipercayai mengambil upah melakukan kerja-kerja tersebut dengan menggunakan jengkaut miliknya.

Menurut beliau, dia ditahan dalam serbuan anggota JPNK pada pukul 10.30 pagi.

Katanya, kerja-kerja tersebut dilakukan bertujuan untuk menanam pokok getah.

“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira satu hektar tanah telah dibersih dan diratakan yang dipercayai dilakukan oleh lelaki itu sejak tiga hari lalu.

“Nilai kerugian akibat kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok-pokok hutan secara haram dianggarkan mencecah RM80,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhamad berkata, lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sik untuk siasatan lanjut oleh JPNK.

Katanya, sebuah jentera jenis Excavotar Sumitomo yang digunakan untuk kerja-kerja tersebut turut disita untuk siasatan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Tambahnya, JPNK komited dan memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan hutan simpan kekal di negeri ini terutama mereka yang mengambil kesempatan menceroboh hutan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi memastikan salah laku berhubung perhutanan dapat dibendung, jabatan amat mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak atau orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan, penerokaan dan pencerobohan hutan simpanan kekal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya