Legenda abad ke-21, Monoloque tampil membawa nafas baharu - Utusan Malaysia

Legenda abad ke-21, Monoloque tampil membawa nafas baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Monoloque sekali lagi tampil dengan pembaharuan menerusi lagu Legenda yang dipopularkan penyanyi Sheila Majid.

Lagu malar segar yang diterbitkan pada tahun 1990 itu kini diberi nafas baharu dengan gabungan irama gamelan Melayu serta kekuatan vokal penyanyi kumpulan Margasatwa, Kimal.

Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar, 43, berkata kehadiran Legenda dengan pembaharuan itu bukanlah untuk menyaingi versi asal.

Sebaliknya untuk diperdengarkan semula dengan suntikan terkini citarasa tersendiri.

“Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Datuk Sheila Majid. Saya cuma menyuntik unsur terkini dan mengubah mengikut citarasa kami seolah-olah lagu sendiri.

“Diharap versi ini menjadi petunjuk kepada versi asal dan menjadi rujukan untuk evolusi bunyi gamelan Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Loque pada masa yang sama mengklasifikasikan lagu ini sebagai belasungkawa tertinggi buat barisan legenda yang dikenang mahupun yang tidak didendangkan.

Katanya, peluang untuk memperbaharui lagu itu dianggapnya sebagai satu penghormatan buat dirinya sendiri.

“Hari ini, dalam dunia dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang yang harus dihargai. Bermula daripada petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, polis, askar sehinggalah penghantar makanan dan mereka yang bekerja di restoran.

“Semuanya adalah perwira yang berjasa besar kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.

Legenda versi abad ke-21 ini dimuatkan di dalam album bekembar, Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21).

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Farid Abdul Jalal yang juga Penerbit Eksekutif album tersebut berkata lagu Legenda mempunyai maksud yang jelas dan luas.

Katanya, kerana itu lagu itu dipilih untuk dimuatkan di dalam album berkenaan.

“Jika versi asal didedikasikan kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Legenda versi baharu ini diperluaskan lagi penghargaannya kepada mereka yang berkorban demi negara termasuk Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memainkan peranan besar dalam perkembangan muzik Gamelan Melayu,” katanya.

Lagu Legenda versi baharu ini boleh diperdengarkan menerusi platfrom digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan Tidal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya