ALOR GAJAH: Seorang penunggang basikal warga Nepal maut selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Lendu di sini, malam semalam.
Nahas berlaku kira-kira pukul 10 malam dan mangsa, Thing Santa Bahadur, 41, yang bekerja di sebuah kilang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa menunggang basikal dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.
“Mangsa menunggang basikal secara melawan arus dan kemudiannya telah mengubah haluan untuk masuk ke jalan yang betul. Sebuah Proton Persona yang dipandu lelaki berusia 35 tahun datang dari arah belakang dari Masjid Tanah ke Alor Gajah telah melanggar basikal mangsa di sebelah sisi belakang tayar kiri.
“Pelanggaran berlaku di laluan kereta terbabit dan terdapat kesan brek sejauh lebih kurang 18 meter selepas selekoh Jalan Lendu.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke bahagian forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Arshad, kejadian berlaku di jalan lurus, satu lorong dua hala sementara keadaan lalu lintas dan cuaca adalah baik, tetapi gelap kerana tiada lampu jalan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.










