PETALING JAYA: Menteri Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan sebanyak 810 premis diarah tutup serta-merta setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, premis yang diarah tutup itu meliputi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja.
Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19 serta Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia bertungkus-lumus menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara.
“Sejak ambil alih tugas ini, setiap hari saya terima laporan daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis, dalam seminggu lebih ini sahaja 810 premis diarah tutup serta-merta kerana ingkar SOP.
“Mengenakan tindakan bukan kemahuan saya mahupun PDRM. Tetapi jika premis sendiri tidak bertanggungjawab, maka mereka perlu tanggung akibatnya,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Katanya lagi, beliau perlu bertindak tegas dalam soal pematuhan SOP oleh premis-premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
“Apabila kemudahan beroperasi diberikan, sepatutnya tiada alasan untuk mana-mana premis ingkar SOP, besar risikonya terhadap keselamatan negara terutama dalam konteks penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE