KUALA LUMPUR: Lima hari selepas pemergian isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin, pelawak dan pelakon, Shuib memuat naik video nyanyian terakhir penyanyi bersuara emas itu yang dirakam 28 Julai lalu.
Dalam video berdurasi 3 minit dan 16 saat itu, Allahyarham yang lengkap bertelekung menyanyikan lagu Tanpa Kekasihku (nyanyian asal Agnes Monica) dengan penuh perasaan dan menusuk kalbu.
“Lagu terakhir nyanyian bidadariku, 28 Julai 2021,” tulis Shuib sebagai caption video tersebut.
Lagu yang berkisahkan hasrat seorang pencinta yang mahu bertemu kekasihnya yang sudah pergi ke negeri abadi itu seolah-olah menggambarkan isi hati Shuib yang merindukan isteri tercintanya.
Dalam video tersebut juga, kedengaran suara anak-anak pasangan bahagia itu sedang berseronok dan bergurau.
“The kids is just having so much fun (anak-anak sedang berseronok),” kata Allahyarham sambil tersenyum manis.
Video yang dimuat naik sekitar 2 pagi tadi menerima pelbagai komen mengharukan daripada peminat yang turut merindukan bintang seni itu.
“Pemergian yang memberi kesan bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia. Pemergian Allahyarham lengkap dengan seribu satu makna.
“Penuh dengan pengajaran, motivasi, kesedaran dan kasih sayang. Semoga Syurga Firdaus tempat mu nanti Kak Siti Sarah Raissuddin. InsyaAllah Allahyarham boleh menghiburkan kita lagi di Syurga kelak,” komen Ajoi Zainal.