KOTA BHARU: Mudir sekolah pondok dikenali sebagai Ustaz Budak direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes cabul dan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki didakwa berlaku Selasa lalu.
Perintah reman sehingga Rabu depan terhadap pendakwah bebas berusia 32 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Nor Faezah Abdullah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek ditahan pukul 1 pagi ini di rumahnya di Machang, susulan laporan polis dibuat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Tanah Merah pada pukul 10.44 malam tadi.
“Berdasarkan laporan, suspek dikatakan mencabul dan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki itu di sebuah rumah di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah kira-kira pukul 8 pagi Selasa lalu.
“Mangsa telah diminta mengurut badan suspek di ruang tamu rumah sebelum dia mengajak remaja tersebut masuk ke dalam bilik kerana bimbang orang lain melihat perbuatan itu,” katanya di sini hari ini.
Tambah Shafien, ketika berada dalam bilik, suspek dipercayai melakukan amang seksual terhadap remaja tersebut sebelum mangsa mengelak dengan menggunakan alasan mahu ke bilik air.
“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Sekitar Disember dan Januari lalu, Ustaz Budak pernah didakwa di mahkamah atas 12 pertuduhan mencabul pelajar, bekas pelajar serta seorang ahli perniagaan dengan kesemua mangsa adalah lelaki.