Lagi cadangan minta kerajaan tangguh pembukaan sekolah 

Lagi cadangan tangguh pembukaan sekolah 

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta pertimbang untuk menangguhkan rancangan pembukaan semula sesi persekolahan September ini ekoran peningkatan kes harian Covid-19 yang telah melepasi angka 20,000 kes ditambah dengan ancaman varian Delta.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, keputusan pembukaan semula sekolah pada ketika ini amat berisiko apatah lagi terdapat guru dan pelajar yang masih belum divaksin.

“Keresahan ibu bapa juga digambarkan melalui petisyen dalam kalangan mereka yang mendesak Kementerian Pendidikan agar tidak membuka sekolah.

“Pendidik berpendapat, ibu bapa dan warga pendidikan perlu diberi satu tempoh bersesuaian sehingga berjaya menyakinkan semua pihak iaitu sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar sebelum sesi persekolahan dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Normala, kementerian perlu mendapatkan pandangan pemegang taruh seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kementerian Pendidikan juga disaran mempertingkat mekanisme dari segi perolehan vaksinasi bagi semua warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti kelompok 90 peratus untuk menyakinkan semua pihak.

“Langkah mempercepatkan program vaksinasi kepada pelajar khususnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai umur 18 tahun juga perlu disegerakan,” ujarnya.

Tambah Normala, Pendidik mencadangkan pembukaan semula sekolah dibuat secara berperingkat bermula dengan pelajar yang menduduki peperiksaan penting.

“Sesi persekolahan juga boleh dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid, berada di kawasan zon hijau dan di kawasan yang kadar penerima vaksin melebihi had imuniti kelompok.

“Kaedah penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan kelompok murid juga boleh dilakukan,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya turut berharap agar kementerian mempunyai perancangan hala tuju jelas jika kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan ke hujung tahun bagi mengelak keciciran pelajar dan mengatasi kelesuan motivasi semasa PdPR terutama pelajar luar bandar.

“Pendidik mencadangkan kementerian memanfaatkan semaksima mungkin rancangan program Didik TV dengan menaik taraf kualiti dan pengisiannya.

“Sesi persekolahan secara bersemuka boleh dibuat sehinggalah terdapat petunjuk kes baharu harian yang semakin menurun hingga ke paras yang munasabah,” katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai seorang guru selama 13 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN