L.Y. dan Baiduri cipta kolaborasi romantis - Utusan Malaysia

L.Y. dan Baiduri cipta kolaborasi romantis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengapa kau pergi
Mengapa kau kecewakan
Mengapa kau hancuri
Mengapa kau menghinakan

Bait lirik lagu Mengapa dendangan penghibur Indonesia, Nicky Astria ini cukup puitis beserta diksi indah. Lontaran vokal high pitch yang dimiliki penyanyi ini amatlah unik malah diintrepretasi dengan baik. Tidak hairanlah lagu ini masih kekal diputarkan di corong radio dan menjadi pilihan pendengar hingga kini.

Kenapa saya memetik lagu ini untuk dijadikan contoh, kerana pasti ramai beranggapan karya ini dihasilkan oleh komposer dari negara Seberang, hakikatnya individu yang bertanggungjawab mencipta lagu terbaik ini ialah anak tempatan yang merupakan antara komposer dan penulis lirik hebat tanah air.

Bersama Mingguan Malaysia, sosok bernama Rozman Shafie, 59, atau lebih dikenali melalui nama pena L.Y. berkongsi kisah perjalanan seninya bermula dari dia melakar nama sehinggalah dikenali hari ini.

“Ketika menuntut dalam tingkatan empat, saya sudah ada band sendiri yang diberi nama Deep Emotion. Saya anggota paling muda kerana yang lain semuanya sudah berusia 20-an ke atas. Waktu itu kami banyak perform lagu-lagu berentak funky, blues dan pop yeh-yeh kerana sering mengadakan persembahan di majlis perkahwinan dan keraian.

“Tetapi disebabkan jiwa meminati muzik yang lebih mencabar terutamannya genre rock, saya form sebuah lagi band yang terdiri daripada rakan sekolah. Band ini kami namakan Peanut Butter And The Jam yang banyak persembahkan lagu dari Barat seperti Rolling Stone, Bad Company dan Deep Purple,” katanya membuka bicara.

Anak kelahiran Kampung Mahmudiah Johor Bahru ini berkata, walaupun pada asasnya penubuhan band ini hanyalah mengisi masa lapang, namun ada ketikanya mereka diberi peluang mengadakan persembahan di majlis keramaian di sekolah serta di tapak-tapak ekspo. Walaupun tidak mendapat bayaran, namun cukup memberikan kepuasan buat mereka yang meminati muzik ketika itu.

Apabila nama sudah terukir di pentas, mulalah timbulnya keinginan untuk melangkah jauh ke hadapan. Mencipta lagu adalah impian yang tersemat di kalbu, hasilnya, karya pertama berjudul 1511 pada 1987 berjaya dimuatkan dalam album Bisa kumpulan Bumiputra Rockers yang cukup terkenal ketika itu.

Penerimaan lagu tersebut adalah pemangkin semangatnya untuk terus berkarya. Namun wujud beberapa kekangan dalam industri menjadikan dia berehat seketika dan kembali menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Tanjung Malim (MPSI) dalam bidang Pengajian Melayu Pendidikan Seni (PMPS) sebelum kembali aktif pada 1992 melalui lagu Puteri Nastasea (Mega) dan Rahsia Pohon Cemara (Exists).

“Walaupun penghujung tahun 80-an dan awal 90-an adalah era kebangkitan muzik rock, namun peluang itu bukan sentiasanya cerah. Saya pernah hantar lagu kepada arwah Samad, Lefthanded, dan Awang BPR, tetapi ditolak. Mungkin mereka rasakan tidak sesuai dan tidak boleh dijual.

“Sejak itu saya bukan sahaja bertindak sebagai komposer, malah menjadi seorang salesman. Contohnya, saya perlu beritahu tentang keistimewaan dan kelebihan lagu yang ingin saya jual kepada syarikat rakaman. Kena yakinkan mereka,” jelasnya.

Karya terus ditagih syarikat rakaman

Sebaik kontrak berakhir selama dua tahun sebagai residen komposer bersama syarikat rakaman BMG, dia dilamar oleh syarikat rakaman Insitech yang merupakan label naungan artis-artis terkenal Indonesia seperti Poppy Mercury, Nicky Astria dan Dewi Yull.

Menganggap itu adalah sebahagian rezeki dan pentas untuknya menggilap nama, pemilik syarikat Kelarai Sakti Sdn. Bhd. ini tidak lagi menoleh ke belakang. Ideanya terus diterjemahkan melalui lagu-lagu ‘berhantu’ ciptaannya antaranya seperti, Mengapa (Nicky Astria), Satukan Hati Kami (Poppy Mercury) dan Cerminan Kali (Dewi Yull).

Tidak tamat di situ, permintaan dilihat terus mencurah apabila karyanya terus ditagih oleh syarikat rakaman tempatan untuk rilisan dan pasaran Indonesia melibatkan artis terkenal tanah air seperti Siti Nurhaliza, Rahmad Mega, Hafiz Suip dan beberapa artis popular lain.

“Alhamdullillah, ini anugerah yang Allah SWT berikan pada saya. Setiap komposer punya idea dan kaedah masing-masing. Saya bukannya ada kursus buat lagu, saya hanyalah seorang guru yang sentiasa sibuk dengan tugas dan aktiviti. Ada ketikanya idea itu datang sambil lalu tanpa disangka, walaupun sedang pandu kereta. Jadi saya rakam dan bila pulang terus cuba buat arrangement muzik dan warnakan mengikut cara yang dikehendaki.

“Kini saya sudah cipta hampir 600 lagu, sehinggakan ada diantara lagu tersebut yang saya sendiri pun tak ingat,” katanya tertawa penutup perbualan.

Lirik berunsur cinta, itu kegemaran saya

Mengenali L.Y. tetapi menafikan kewujudan penulis lirik bernama Baiduri mungkin sesuatu yang janggal kerana kolaborasi dua nama ini cukup sinonim dalam mewarnai industri hiburan tanah air. Bukan sekadar ikatan suami isteri, malah kreativiti dua figura ini cukup serasi melalui kesinambungan mereka dalam menghasilkan karya terbaik dekad ini.

Khabar Legenda cuba mencungkil rahsia yang dimiliki oleh figura bernama Norhayati Mohd. Hashim, atau lebih dikenali sebagai Baidiuri, dalam menghasikan ratusan lirik terbaik cetusannya selama ini.

“Sebaik L.Y. selesai hasilkan lagu, dia akan terus beri kepada saya. Pertamanya, saya akan lihat genre dan konsep muzik yang dihasilkan dan siapa artis bakal membawakan lagu tersebut. Lantas saya perlu buat sedikit homework terutamanya ‘jalan cerita’ apa yang ingin diketengahkan.

“Mencipta lirik perlukan kepakaran dalam menyusun melodi indah untuk disajikan kepada pendengar. Idea yang datang juga tak tentu masa, ada ketika saya mampu siapkan dalam masa 30 minit, tetapi bila stuck sebulan pun belum tentu boleh siap,” katanya tertawa.

Menurut anak kelahiran Kulai, Johor ini, keindahan sesebuah lagu itu bukan sahaja terletak pada melodi semata, bahkan garapan lirik yang puitis adalah elemen penting untuk dihadiahkan kepada seseorang penyanyi.

Setiap butiran dalam sesebuah lirik mempunyai maksud mendalam. Bahasa perlu disusun indah dan kemas agar ada kesinambungan dalam karya yang ingin diterjemahkan. Justeru, adunan terbaik amatlah penting terutamanya jika ia mampu menakluk dan menyentuh jiwa pendengar.

“Idea menghasilkan lirik ini datang tidak menentu. Ada ketikanya waktu bersantai dengan keluarga pun ia boleh datang. Yang penting penceritaan dan tema yang ingin disampaikan, kemudian barulah saya akan olah dengan lebih puitis dan murni.

“Perlu dapatkan isi utama terlebih dahulu, kemudian barulah buat pecahan-pecahan melalui jalan cerita yang ada. Yang penting ada mukadimah, isi dan penutup. Itu sudah memadai,” katanya.

Tidak menafikan lirik dan melodi berunsur cinta adalah kegemarannya kerana di situ dia mampu menggarap pelbagai bahasa indah, puitis dan romantis, di samping keupayaan penyanyi yang turut membantu mempopularkan karya tersebut.

“Artis juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu lagu. Perlu ada ‘roh’ dan ‘jiwa’. Itu juga adalah paksi utama. Sebab itulah perlunya penghayatan dan perasaan.

“Jujur saya amat hormat dengan segelintir artis-artis lama yang dilihat sentiasa peka dan bersungguh dalam membawakan lagu-lagu ciptaan kami. Cara mereka yang menyampaikan dengan penuh jiwa dan penghayatan amatlah saya puji. Itu adalah salah satu faktor yang membantu lagu yang dihasilkan mampu memikat jiwa pendengar,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya