KUALA TERENGGANU: Kemelut politik yang melanda negara termasuk peletakan jawatan seluruh Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan sekutunya, UMNO.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hingga saat ini tiada sebarang perubahan ke arah negatif yang boleh mengganggu-gugat usaha gagasan berkenaan dalam mengukuhkan agenda penyatuan ummah di Malaysia.
“Saya percaya Pas tetap komited mempertahankan MN dan PN kerana itu adalah matlamat akhir dalam menyatukan seluruh masyarakat Melayu-Islam di negara ini bagi menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani.
“Situasi ini ibarat pinggan mangkuk apabila bersentuhan maka berbunyi sedikit, tetapi selepas ini InsyaAllah semua akan duduk kembali pada tempatnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar yakin kemelut politik negara yang tidak menentu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Isu politik macam pasaran saham, ia sangat dinamik dan InsyaAllah Malaysia akan keluar daripada ketidaktentuan ini,” katanya. – UTUSAN