KMUM gesa kerajaan tanggung ujian calitan pelajar - Utusan Malaysia

KMUM gesa kerajaan tanggung ujian calitan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan ujian calitan Covid-19 bagi pelajar Sarawak dan Sabah yang ingin pulang ke kampung ditanggung sepenuhnya Kementerian Kesihatan, namun didapati adalah ‘indah khabar daripada rupa’.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mendapati Klinik Kesihatan Pelajar Universiti Malaya tidak menyediakan perkhidmatan ujian Rt-Pcr seperti diwajibkan oleh kerajaan negeri sehingga mereka terpaksa ke hospital kerajaan tertentu.

“Namun, keputusan itu tidak dapat dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan dalam panduan pergerakan iaitu sama ada tiga atau lima hari sebelum tarikh penerbangan.

“Justeru itu, pelajar Sabah dan Sarawak telah membeli tiket penerbangan hanya boleh menjalani ujian calitan di klinik atau hospital swasta dan menanggung kos tersebut.

“Keadaan tersebut membebankan mereka terutamanya golongan B40 dan M40 kerana mereka perlu menanggung kos tiket penerbangan yang mahal serta kos ujian agar dapat kembali ke rumah masing-masing,” kata kenyataan itu hari ini.

KMUM mengambil maklum masalah dihadapi para pelajar terlibat yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti semester setelah berbulan-bulan berada di kampus jauh daripada keluarga.

Justeru itu, mereka menuntut kos ujian calitan pelajar Sabah dan Sarawak ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan UM.

Pihak tersebut menegaskan tanggungjawab memberi subsidi sepatutnya dilaksanakan oleh UM dan bukan hanya berdiam diri memeluk tubuh membiarkan kebajikan golongan ini terabai kerana mereka juga merupakan pelajar UM.

Jelas KMUM lagi, kementerian dan UM perlu bertanggungjawab dalam kegagalan menjaga kebajikan pelajar Sabah dan Sarawak dengan perancangan pergerakan pelajar yang tidak efisien dan membebankan.

“Oleh demikian kami telah mengambil inisiatif untuk menawarkan subsidi kepada para pelajar Sarawak dan Sabah yang berkeperluan untuk mengurangkan beban mereka,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN