KL bandar raya selamat - Utusan Malaysia

KL bandar raya selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA dua berita baik untuk rakyat Malaysia sepanjang seminggu terakhir ini. Pertama, redanya kemelut politik yang berpanjangan sejak sekian lama dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjiwa besar apabila mengambil keputusan mengundurkan diri.

Berita baik kedua adalah apabila Economist Intelligence Unit (EIU) meletakkan Kuala Lumpur pada kedudukan ke-32 dalam indeks Bandar Selamat 2021 atau Safe Cities Index 2021. Kedudukan itu mengatasi Beijing, Dubai, Jakarta dan banyak bandar raya lain di rantau sebelah sini.

Kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya selamat juga meningkat tiga kedudukan dalam senarai itu. Dalam indeks bagi tahun 2019 ia berada pada kedudukan 35 daripada 60 buah bandar, turun empat mata berbanding indeks tahun 2017.

Indeks seperti ini sangat penting kerana prestasi sesebuah negara tidak boleh diukur semata-mata dari sudut ekonomi. Ia harus menyeluruh, meliputi setiap aspek kehidupan terutama yang menyangkuti kepentingan dan keperluan harian. Tidak ada maknanya sebuah negara itu kaya jika ia gagal menyediakan bandar yang selamat untuk warganya.

Untuk membuat penilaian ini, termasuk dengan meng­ambil kira kesan pandemik Covid-19, EIU mengadakan kajian dan tinjauan meliputi lima segmen utama yang menjadi petunjuk kepada kedudukan keselamatan bandar-bandar yang tersenarai. Ia merangkumi keselamatan digital, keselamatan kesihatan, keselamatan infrastruktur, keselamatan peribadi dan keselamatan persekitaran.

Daripada lima segmen tersebut, Kuala Lumpur cemerlang dalam segmen persekitaran berada pada 10 kedudukan teratas. Sementara segmen keselamatan peribadi pula di kedudukan ke-33 dan keselamatan digital di kedudukan ke-35. Manakala segmen keselamatan kesihatan (38) dan keselamatan infrastruktur pula 37. Ini bermakna pada dua segmen terakhir itu Kuala Lumpur memerlukan penambahbaikkan. Secara keseluruhannya Kuala Lumpur mencatatkan mata 66.6 pada laporan.

Copenhagen mendahului senarai dengan 82.4 mata daripada 100, diikuti oleh Toronto 82.2 mata, Singapura 80.7 mata, Sydney 80.1 mata dan Tokyo 80.0 mata. Penilaian terhadap sejauh mana selamatnya sesebuah bandar ini perlu kerana proses urbanisasi yang berlaku dengan pantas.

Pada tahun 1950 hanya 740 juta orang mendiami bandar-bandar di seluruh dunia, tetapi sekarang jumlahnya mencecah 4 bilion, atau kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia masa kini. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan angka itu akan meningkat kepada 68 peratus atau kira-kira 6.6 bilion pada tahun 2050.

Data PBB juga menun­jukkan pada tahun 2005 hanya Tokyo sahaja mem­punyai penduduk lebih 20 juta di seluruh pusat dan kawasan metropolitannya, tetapi kini terdapat lebih sembilan bandar raya lain mempunyai penduduk lebih 20 juta. Menjelang tahun 2030, jumlah itu dijangka akan menjadi 14.

Di Malaysia proses urbanisasi berjalan sangat pesat. Pada tahun 1950 hanya 20 peratus penduduk negara ini mendiami kawasan bandar, ia berubah menjadi 26,7 peratus pada 1970, meningkat kepada 34.2 peratus satu dekad kemudian dan mencapai 61.8 peratus pada tahun 2000, dan 78.1 peratus pada 2020.

Pertumbuhan pantas ini turut berlaku di Kuala Lumpur. Pada tahun 1980 jumlah penduduk bandar raya itu adalah 919,611 dan bertambah menjadi 1,145,075 (1991), 1,379,300 (2000), 1,627,172 (2010) dan Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah itu meningkat kepada 1.77 juta pada 2020. Jumlah itu sebenarnya lebih banyak jika diambil kira kawasan metropolitannya.

Bandar adalah cerminan imej kepada sesebuah negara. Apabila Tijuana dan Alcapulco disenaraikan sebagai banda raya paling berbahaya di du­nia, kesannya diterima oleh Mexico kerana di negara itulah terletaknya kedua-dua bandar raya tersebut. Begitu juga bila Caracas diletakkan sebagai bandar raya ketiga paling berbahaya, pelancong yang hendak ke Venezuela akan berfikir banyak kali, apatah lagi mereka yang bercadang melabuh di negara itu.

Atas sebab itulah indeks seperti yang dikeluarkan oleh EIU itu penting bagi dijadikan panduan. Dan yang lebih pen­ting adalah memastikan bandar kita – dalam kes ini Kuala Lumpur – berada pada kedudukan sebaik yang mungkin.

Pengalaman menjadi sebahagian daripada warga Kementerian Wilayah Perse­kutuan semasa berkhid­mat dengan menterinya, Tan Sri Annuar Musa selama hampir setahun setengah meng­ajar saya bahawa untuk menjadikan sebuah kota besar seperti Kuala Lumpur sebuah bandar raya selamat bukanlah mudah. Ia menuntut kepimpinan yang betul, visi yang jelas, iltizam yang kuat, komitmen yang tinggi, pasukan yang cekap dan berintegrriti.

Kuala Lumpur bernasib baik kerana memiliki satu pasukan kerja yang mantap.

Apabila Annuar memperkenal konsep Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin sebagai suatu pembudayaan kerja dalam menzahirkan keikhlasan daripada hati nurani warga KWP dan agen­­si kepada rakyat, ia mendapat sambutan yang memberangsangkan di semua peringkat.

Konsep itu dipayungi 13 cakna Cakna Perumahan, Cak­na Gelandangan, Cak­na Kemiskinan, Cakna Keselamatan, Cakna Perpa­duan, Cakna Keindahan, Cak­na Kebersihan, Cakna Sukan, Cakna Asnaf, Cakna Usahawan, Cakna Kehijauan, Cakna Pendidikan dan Cakna Seni Budaya sebagai teras kepada pelbagai program dirangka.

Inisiatif ini membawa man­faat yang sangat besar kepada semua peringkat warga Kuala Lumpur, yang terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam cengkaman pandemik Covid-19. Senarai manfaat yang diterima itu sangat panjang, antaranya pengecualian bayaran sewa PPR MTEN dan Perumahan Awam DBKL, bantuan kit makanan asas, bantuan Food Pack, penangguhan bayaran ansuran unit beli PPR MTEN dan PA DBKL, sumbangan makanan petugas barisan hadapan, sumbangan makanan gelandangan dan bermacam-macam lagi.

Tetapi yang lebih hebat sebenarnya apabila KWP mengambil langkah ke hadapan dengan memberi tumpuan khusus pada keselamatan kesihatan melalui usaha membendung penularan Covid-19. Pelaksa­naan program MYmedic@Wilayah sebagai contoh te­lah mempercepatkan pro­ses vaksinasi di kalangan penduduk Kuala Lumpur. Hasilnya, pada 15 Ogos lalu, Kuala Lumpur telah berjaya mencapai imuniti kelompok, tepat sebagaimana disasarkan.

Pada Julai 2020, Annuar mengumumkan bahawa KWP bercadang memasang menambah sehingga 5,000 kamera litar tertutup di kawasan-kawasan strategik. Tujuannya tidak lain daripada menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif di Kuala Lumpur.

Bagi mencapai maksud yang sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dengan ber­pandukan Perancangan Reka Bentuk Bandar Selamat.

Semua usaha ini akan men­jadi lebih bermakna jika disokong menerusi komitmen tidak berbelah bahagi oleh semua warga Kuala Lumpur, menepati motto ‘Bersedia Menyumbang, Bandaraya Cemerlang’.

Datuk Budiman Mohd. Zohdi adalah bekas Setiausaha Politik Kementerian Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN