KUALA LUMPUR: Pelakon popular Juvana, Johan Asa’ri meluahkan rasa sedih di hati dan kesal dengan segelintir netizen yang cepat melatah dengan luahan prihatinnya terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika dihubungi, Johan menjelaskan, segelintir netizen mungkin terlupa akan rasa ingin saling hormat sesama insan apabila menyentuh bab sokongan terhadap para pemimpin khususnya Perdana Menteri.
“Sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita meraikan perbezaan pendapat dan pendirian ini dengan penuh rasa hormat serta kasih dan sayang. Johan sedih ramai netizen yang menghentam dengan tiada asas.
“Semoga kita semua prihatin dan meraikan sesama kita rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini dengan penuh rasa kasih. Wallahuaklam, saya bukan ahli politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, menerusi perkongsian terbaharu di Instagramnya, Johan turut memohon maaf kepada orang ramai seandainya ada yang beranggapan pelakon itu emosi ketika memuat naik kenyataan prihatin terhadap bekas PM.
“Johan sedar ramai sahabat yang unfollow, mungkin mereka beranggapan Johan emosi. Johan menyusun sepuluh jari memohon maaf andai benar apa yang diperkatakan. Johan sekadar berasa sedih apabila pengisian yang dimaksudkan itu tidak diisi dengan rasa ingin saling hormat.
“Walau siapa pun Perdana Menteri selepas ini pastinya Johan tetap patuh dan mendoakan yang terbaik. Johan ingat lagi bagaimana sokongan Johan terhadap para pemimpin yang terdahulu, tidak berbelah bahagi,” katanya yang menghormati semua para pemimpin negara.
Akhir kata dia juga ikhlas memaafkan komen-komen negatif yang menghentamnya sebelum ini.