PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh rakyat di negeri ini menterjemahkan solidariti dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis serta kediaman masing-masing sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini sebagai tanda bersatu-padu melawan pandemik Covid-19.
Titah baginda, semangat cintakan negara hendaklah sentiasa diperteguhkan selain mengekalkan kehidupan dalam suasana harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati meskipun berlainan kaum dan agama.
Dalam masa sama, baginda juga mengingatkan semua rakyat agar sentiasa menghormati Jalur Gemilang dan bendera negeri dengan mengelakkan penggunaan secara tidak wajar termasuk menghina ataupun merendahkan status bendera sebagai lambang negara dan negeri itu.
“Marilah kita sama-sama menterjemahkan solidariti dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Perlis sempena sambutan bulan kemerdekaan sebagai tanda bersatu-padu melawan pandemik Covid-19,” titah baginda merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia di Kem Bukit Keteri, Chuping, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak berkata, bersempena sambutan bulan kemerdekaan, pihaknya turut mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Perlis di kawasan kem tersebut.
Katanya, langkah tersebut bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan anggota.
“Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyemai semangat cintakan negara selain mengambil iktibar serta aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah ini yang menyaksikan negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.
Pada kesempatan sama, Tuanku Syed Faizuddin mewakili rejimen tersebut turut mengucapkan selamat menyambut hari ulang tahun ke-64 pada 15 Ogos lalu kepada seluruh warga Rejimen Artileri Diraja. – UTUSAN