PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acyrl Sani Abdullah Sani memberi jaminan situasi keselamatan dan ketenteraman awam negara adalah terkawal.
Beliau meminta orang ramai supaya tidak gusar kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan keselamatan kekal berada pada tahap selamat dalam sebarang situasi.
“Kita juga akan meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.
“PDRM juga sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa-apa medium yang boleh menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya di sini hari ini.
Acryl Sani turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian.
Tambahnya, itu salah satu usaha bersama dalam membendung penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE