PETALING JAYA: Polis mengklasifikasikan insiden tembakan membabitkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di unit TUDM, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak, awal pagi ini sebagai kes bunuh.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini punca kejadian masih belum diperoleh,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, satu kejadian tembakan berlaku kira-kira pukul 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.
Difahamkan ketika kejadian itu, kesemua anggota berkenaan masing-masing dalam proses menyerahkan tugas.
Salah seorang anggota TUDM terbabit kemudiaannya dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.
Akibat kejadian itu, dua rakannya yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.
Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan. Namun mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan.