SEPANG: Polis mengesahkan kereta yang terlibat kemalangan di Kilometer (KM) P5 Lingkaran Putrajaya menghala ke arah Shah Alam pada pukul 10.30 pagi tadi hilang kawalan sebelum terbakar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan Mohammad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Putrajaya menghala ke Shah Alam.
Menurutnya, ketika sampai di KM P5 Lingkaran Putrajaya, kereta berkenaan disyaki hilang kawalan dan terlanggar pembahagi jalan tengah kemudian terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelah kiri sebelum terbakar.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa berusia 26 tahun tercampak keluar daripada kereta manakala seorang lagi mangsa yang merupakan warganegara China tersepit di dalam kenderaan bagaimanapun telah dibawa keluar oleh pihak bomba.
“Mangsa yang maut telah dibawa ke Forensik Hospital Serdang dan warganegara China terbabit pula mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Putrajaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kereta terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan terbakar seluruh kenderaan.
“Polis telah membawa kenderaan terlibat ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang maut, manakala seorang lagi cedera selepas terperangkap dalam sebuah kereta yang musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Putrajaya Link, menghala Tol Putrajaya di sini pagi tadi.