PETALING JAYA: Kerajaan akan menumpukan dua objektif utama bagi mengurangkan kesan ekonomi berpanjangan ekoran krisis pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, objektif pertama yang akan diberi tumpuan adalah mengembalikan kesejahteraan rakyat sekali gus dapat meningkatkan kuasa beli pengguna.
Selain itu katanya, sektor swasta akan dipertingkat dan diangkat sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.
“Fokus ini adalah sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya dalam ucapan khas di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE