Kerajaan caretaker hanya jalankan urusan pentadbiran kerajaan - Utusan Malaysia

Kerajaan caretaker hanya jalankan urusan pentadbiran kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik turut menjalankan fungsi sebagai kerajaan caretaker.

Berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, kerajaan caretaker hanya berfungsi untuk mentadbir negara sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, dalam hal ini, kerajaan caretaker boleh mengambil tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan.

Beliau menjelaskan, kerajaan caretaker bagaimanapun tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau memberi implikasi kewangan serta membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk.

Menurutnya, ia melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam (public interest).

“Bagi maksud itu, kerajaan caretaker boleh mengambil beberapa tindakan antaranya menjalankan tugasan rasmi rutin termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan berfungsi.

“Kerajaan caretaker juga boleh mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zuki berkata, kerajaan caretaker boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada yang mana peruntukan kewangan baginya telah disediakan.

Beliau berkata, ia termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan juga bantuan lain sebelum tarikh Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Selain itu katanya, kerajaan caretaker boleh membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh Parlimen seperti belanjawan tahun semasa.

“Seterusnya kerajaan caretaker boleh mengadakan dan menghadiri majlis-majlis rasmi yang telah dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN