Keraian Aidiladha secara sembunyi, rentas negeri punca kes Covid-19 di Terengganu meningkat - Utusan Malaysia

Keraian Aidiladha secara sembunyi, rentas negeri punca kes Covid-19 di Terengganu meningkat

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peningkatan kes harian Covid-19 kepada 883 semalam adalah disebabkan oleh aktiviti saringan kontak rapat rapat dan bersasar yang dilakukan di beberapa lokaliti di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, lonjakan itu turut berpunca daripada pertambahan kes-kes bergejala yang menular cepat dalam komuniti.

Di samping itu katanya, penganjuran majlis keraian secara sembunyi semasa Hari Raya Aidiladha lalu termasuk aktiviti merentas negeri dan daerah yang tidak dibenarkan sekali gus menyumbang kepada peningkatan Covid-19 kepada jumlah paling tinggi dalam sejarah.

“Malah kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar yang tidak disaring turut mencetuskan kluster di antara mereka.

“Tentunya kita terkejut dan bimbang dengan bilangan kes harian positif Covid-19 ini, tetapi saya berharap seluruh rakyat tidak panik dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan bersama penguat kuasa daripada pelbagai agensi termasuk polis telah serta sedang mengambil langkah untuk menanganinya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Semalam, Terengganu merekodkan sebanyak 883 kes jangkitan baharu harian Covid-19 sekali gus menjadi yang paling tinggi sejak pandemik itu melanda.

Mengikut infografik Jabatan Kesihatan negeri, daripada jumlah itu sebanyak 860 kes membabitkan penularan tempatan manakala kes import B (14 kes), kes import C (8 kes) dan kes orang kena tahan (1 kes) menerusi 15 kluster yang terlibat.

Ahmad Samsuri berkata, langkah-langkah yang diambil itu antaranya ialah meningkatkan aktiviti kawalan dengan mengesan lebih ramai kontak rapat dan saringan di lokaliti berisiko.

“Susulan aktiviti pengesanan itu kita menjangkakan kes Covid-19 di Terengganu terus melonjak dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Di samping itu, kerajaan negeri juga mahu proses vaksinasi di tempat kritikal atau kawasan yang mencatatkan kes tertinggi agar dipercepat dan dipertingkatkan selain turut berusaha memohon pertambahan vaksin untuk daerah Kemaman dan Dungun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya