MELAKA: Dua individu bertindak meninggalkan bot dan 1,100 ekor burung Murai Kampung yang cuba diseludup keluar ke negara jiran selepas menyedari kehadiran penguat kuasa di perairan pantai Alai di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, kesemua burung ditemukan unit ronda pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, rondaan operasi khas dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti mencurigakan di pesisir pantai tersebut.
Ujarnya, hasil pemeriksaan, pasukan ronda mengesan sebuah bot disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan.
“Bagaimanapun, suspek menyedari kehadiran penguat kuasa dan memecut laju ke pantai sebelum meninggalkan bot di kawasan cetek yang dipenuhi semak untuk meloloskan diri.
“Kita percaya bot itu dikendalikan dua suspek. Penggeledahan di kawasan pantai berbatu itu menemukan 55raga berisi 1,100 ekor burung Murai Kampung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Haris Fadzillah berkata, kesemua burung bernilai kira-kira RM44,000 itu dipercayai diletakkan oleh dalang dan tidak sempat dipindah masuk ke dalam bot suspek berkenaan.
“Burung Murai Kampung atau nama saintifiknya copsychus saularis dipercayai untuk diseludup ke negara jiran kerana mempunyai permintaan tinggi.
“Hasil siasatan awal, kita juga mengesyaki dalang kegiatan ini adalah suspek warga tempatan,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua burung dirampas dan kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Burung Murai Kampung turut disenaraikan sebagai spesis terlindung di dalam Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
Sepanjang tahun 2015 hingga 2020, sebanyak 26,950 ekor burung itu dirampas dalam cubaan seludup dengan 17,314 membabitkan kes dari Malaysia ke Indonesia. – UTUSAN ONLINE