PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membawa isu melibatkan penutupan semua institusi memandu sejak 1 Jun lalu akibat Covid-19, yang menyebabkan ramai pihak terjejas ke peringkat Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya menyedari isu terbabit yang dilihat sebagai satu perkara yang serius dan perlu diambil perhatian bagi membolehkan perkara berbangkit dapat diatasi.
Katanya, pihaknya mengambil maklum perkara melibatkan penutupan institusi memandu yang menyebabkan ramai pihak berkaitan terjejas bagi mendapat latihan dan lesen memandu.
“Jika ditanya kepada saya, adalah logik dan wajar institusi memandu dibuka namun perlu diingatkan, JPJ hanyalah agensi pelaksana dan keputusan membenarkan operasi adalah di peringkat kementerian dan kerajaan kerana semua perkara berkaitan mempunyai tatacara dan prosedur yang perlu dituruti.
“Saya akan bawa perkara ini ke peringkat kementerian bagi mencari kaedah terbaik untuk semua dan biarlah perkara ini, kementerian yang akan mengeluarkan sebarang kenyataan susulan perkara ini dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Kosmo! mengenai lebih setengah juta individu di negara ini terjejas apabila mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk memiliki lesen memandu kerana semua institusi memandu masih ditutup sejak 1 Jun lalu akibat Covid-19.
Daripada jumlah itu, hampir 80 peratus adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan belia yang kini amat memerlukan lesen memandu terutamanya untuk memudahkan mereka keluar bekerja.
Zailani berkata, perkara mengenai pembukaan instituti memandu bukanlah bidang kuasa JPJ yang hanya menjalankan penguatkuasaan dan pematuhan berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan dan yang berkaitan.
“Kita di JPJ hanya mengikut dan melaksanakan apa yang ditetapkan kementerian berdasarkan undang-undang yang digubal ataupun sedia ada,” katanya. – UTUSAN