KUALA LUMPUR: Demi rasa cinta dan komitmen, penyanyi, penyair dan penulis lirik, Umar Uzair sanggup ‘mentrasformasi’ laman rumahnya kepada sebuah pentas untuk menjayakan program khas sempena merdeka anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
Umar berkata, dia sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk membeli peralatan penggambaran dan menukar lama rumahnya untuk menjadi sebuah pentas persembahan.
“Kerana sekatan pergerakan yang berterusan, saya tak dapat ke Melaka untuk rakaman konsert puisi di Mini Malaysia.
“Jadi saya buat pelaburan dengan peralatan penggambaran dan laman rumah bertukar menjadi pentas persembahan. Pengalaman yang menyegarkan. Tayangan khas di Facebook dan Youtube JKKN Melaka sempena Hari Merdeka ini!” katanya.
Perkongsian Umar di Facebooknya itu mendapat pujian peminat yang mengagumi semangat dan komitmennya dalam menjayakan sesebuah persembahan.
Umar yang merupakan penerima watikah Penyair Muda ASEAN 2015 juga sedang giat mempromosikan album baharu, Hasrat Sang Enggang.