Kelantan sedia bantu pusat tahfiz - Utusan Malaysia

Kelantan sedia bantu pusat tahfiz

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedia mengadakan pertemuan bagi membantu menyelamatkan pusat tahfiz di negeri ini yang berdepan masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Pendidikan, Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu pengurusan pusat tahfiz melaporkan masalah mereka.

“Saya mohon mana-mana sekolah yang berdepan masalah (kewangan) ini supaya berhubung dengan kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Langkah itu bertujuan melihat apakah bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka oleh kerajaan negeri atau MAIK bagi memastikan pusat pengajian itu terus bertahan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamed Fadzli memberitahu, pusat tahfiz di negeri turut disaran berdaftar dengan kerajaan negeri atau MAIK bagi memudahkan proses penyimpanan rekod dan bentuk bantuan selepas ini.

Katanya, madrasah dan pusat tahfiz di bawah selian kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) setakat ini tidak berdepan masalah kewangan sepanjang pandemik Covid-19.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, dianggarkan 140 pusat tahfiz di seluruh negara ‘gulung tikar’ atau menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Bendahari Agung Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Pertama), Datuk Adnan Hashim kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN