PUTRAJAYA: Kelantan mencatatkan sebanyak 12 kluster baharu daripada jumlah keseluruhan 36 kluster sekali gus menjadi penyumbang terbesar kluster hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Johor pula sebanyak lapan kluster; Pahang, Sarawak, Pulau Pinang, masing-masing tiga kluster; dua di Selangor manakala Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Melaka dan Terengganu, masing-masing satu kluster.
Katanya, tempat kerja mencatatkan 18 kluster diikuti 13 kluster komuniti manakala institut pendidikan dan kumpulan berisiko tinggi, masing-masing dua kluster serta satu kluster pusat tahanan.
“Kluster tempat kerja menyaksikan Johor mencatatkan enam kluster, empat di Kelantan, tiga di Pulau Pinang, dua di Pahang manakala Selangor dan Terengganu, masing-masing satu kluster.
“Bagi kluster komuniti, lapan di Kelantan, tiga di Sarawak manakala Pahang, Perak dan Selangor, masing-masing satu kluster. Kluster kumpulan berisiko, satu di Kuala Lumpur dan Johor manakala kluster institusi pendidikan, satu di Kedah dan Johor serta satu kluster pusat tahanan di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia terus mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 19,268 kes berbanding semalam, 20,579 kes sekali gus diatasi kes sembuh iaitu 21,257 kes dengan 295 kematian dicatatkan dan 1,033 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 476 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 265,713 kes aktif.
Katanya, Selangor yang kekal menjadi penyumbang terbesar merekodkan sebanyak 3,567 kes diikuti Sabah (2,310), Johor (2,265), Kedah (2,084), Sarawak (2,028), Pulau Pinang (1,780), Kelantan (1,308) dan Perak (1,144).
“Lima negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Pahang (788), Kuala Lumpur (672), Terengganu (544), Melaka (395) dan Negeri Sembilan (269).
“Perlis pula 71 kes serta Putrajaya, 41 kes manakala Labuan hanya dua kes,” katanya.
Mengulas mengenai 295 kematian, beliau berkata, Selangor kekal penyumbang terbanyak dengan 81 kes, 47 kes di Johor, 42 kes di Sabah, 36 kes di Kedah, 23 kes di Pulau Pinang, 13 kes di Kuala Lumpur, 12 kes di Perak, 11 kes di Terengganu, masing-masing tujuh kes di Pahang dan Kelantan, masing-masing lima kes di Negeri Sembilan, Sarawak dan Melaka serta satu kes di Perlis.
“Kematian melibatkan 151 lelaki dan 144 perempuan termasuk 34 warga asing manakala 53 pesakit termasuk 14 warga asing meninggal dunia di rumah sebelum dibawa ke hospital.
“Seramai 237 pesakit daripada jumlah keseluruhan kematian pula, mempunyai latar belakang penyakit,” katanya.