Kejadian pesakit jatuh, meninggal dunia, lewat terima rawatan disiasat - Utusan Malaysia

Kejadian pesakit jatuh, meninggal dunia, lewat terima rawatan disiasat

TANGKAP layar video tular memaparkan seorang warga emas yang meninggal dunia selepas didakwa lewat menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada 26 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan negeri akan menjalankan siasatan lebih mendalam berhubung kejadian seorang pesakit yang jatuh dan meninggal dunia didakwa lewat menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, 26 Ogos lepas.

Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, pihaknya kesal dengan penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku kerana dikhuatiri mengguris hati keluarganya.

“Jabatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan kesal atas penularan video berkenaan. Jabatan memohon agar masyarakat umum menghormati keluarganya dan menghentikan penularan video tersebut.

“Di pihak jabatan kita akan melakukan siasatan lebih mendalam mengenai insiden ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang video yang tular dalam media sosial sejak semalam mengenai seorang pesakit lelaki yang jatuh dan meninggal dunia dalam wad didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital berkenaan.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, pesakit berkenaan adalah seorang warga emas yang dimasukkan ke hospital itu pada 26 Ogos lepas setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Kuala Muda.

“Mendiang mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan mendapat jangkitan Covid-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Sepanjang berada di wad berkenaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi. Dia bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakai. Pesakit dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan,” katanya.

Tambah beliau, pada hari kejadian setelah rondaan wad pagi selesai dan pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan peralatan perlindungan diri (PPE) pada pukul 1.45 petang.

“Pada pukul 2.25 petang petugas wad diberitahu oleh pesakit lain seorang pesakit jatuh dari katil.  Pegawai perubatan bertugas bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang didapati terbaring di lantai wad.

“Pemakaian PPE mengambil masa kira-kira lima minit. Ketika itu pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup. Pesakit dinaikkan ke katil semula dan disahkan meninggal dunia. Punca kematian adalah severe Covid-19 pneumonia,” katanya.

Jelasnya, jabatan bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada hari kejadian dan menjelaskan situasi sebenar kejadian.

“Ahli keluarga sememangnya maklum keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya