KEMAMAN: Kegembiraan tujuh sahabat memancing dan mandi-manda di Jeram Mawar, Sungai Kemaman berhampiran Kampung Air Putih di sini bertukar tragedi apabila seorang daripadanya dikhuatiri lemas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, Mohamad Nazmi Mohamad Saidi, 23, dari Kampung Paya Berenjut, Chukai dikatakan tergelincir ketika di tebing sungai sebelum dihanyutkan arus deras.
Rakan mangsa, Mohd. Zarif Ikhwan Zainuddin, 23, berkata, dia bertindak terjun ke dalam sungai berkenaan bagi menyelamatkan mangsa namun gagal disebabkan keadaan arus.
“Saya juga hampir lemas walaupun sudah menjerit meminta tolong rakan lain tetapi tidak berjaya untuk menyelamatkan mangsa.
“Sebelum Mohamad Nazmi hilang, saya nampak dia tenggelam dan timbul beberapa kali,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan sebaik sahaja laporan diterima.