Kedah tolak dakwaan projek KXP cemar sungai - Utusan Malaysia

Kedah tolak dakwaan projek KXP cemar sungai

LAKARAN artis pembinaan projek KXP di Sidam Kiri, Kuala Muda, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menolak dakwaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kononnya cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sidam Kiri, Kuala Muda boleh mencemarkan Sungai Muda dan mengakibatkan bencana terhadap bekalan air Pulau Pinang dan selatan Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dakwaan tersebut seperti sengaja ditimbulkan bagi mencetuskan keraguan dan kebimbangan orang ramai terhadap pembinaan KXP.

Malah katanya, dakwaan dibangkitkan PBAPP itu yang turut dianggap sebagai ‘suara’ kerajaan negeri Pulau Pinang, seakan-akan tidak munasabah dan melampaui batas kerana meminta lokasi KXP diubah ke lokasi lain.

Menurutnya, laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk KXP dan Kedah Aerotropolis telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya untuk penilaian.

“Laporan tersebut boleh diakses di laman web JAS dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang disediakan dengan cukup teliti menggunakan pelbagai metodologi saintifik bagi memastikan semua impak terhadap alam sekitar diambil kira.

“Berdasarkan impak alam sekitar yang dikenal pasti, langkah mitigasi telah dicadang bersandarkan amalan pengurusan baik (BMP) yang terdapat dalam sektor industri terkini bagi memastikan penggerak projek atau kontraktor tidak menyebabkan pencemaran kepada aliran sungai berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malah beliau berkata, laporan ‘Land Disturbing Pollution Prevention and Mitigation Measures’ (LDP2M2) untuk projek itu menyatakan semua timbunan perlu ditempatkan sekurang-kurangnya 20 meter dari tebing Sungai Jerong dan 50 meter dari tebing Sungai Muda.

“Semua pihak terlibat akan dipastikan mematuhi garis panduan pembangunan sungai dan rezab sungai oleh JPS.

“Syarat itu bukan hanya terhad untuk Sungai Muda atau Sungai Jerong malah semua sistem aliran air yang terdapat dalam lokasi projek mengikut garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dikeluarkan JPS,” katanya.

Selain itu, Muhammad Sanusi berkata, kualiti Sungai Muda juga tidak akan terjejas kerana kolam dan pagar kelodak akan dibina di sepanjang kawasan persempadanan.

“Jarak paling hampir zon pembangunan lapangan terbang dengan Sungai Muda adalah 550 meter sedangkan zon penampan minimum yang diperlukan hanyalah sejauh 50 meter dari tebing sungai,” katanya.

Tambahnya, bersandarkan laporan EIA, impak terhadap Sungai Muda adalah tidak signifikan serta boleh diabaikan kerana kualiti air tetap sama seperti sedia ada apabila langkah-langkah mitigasi diaplikasikan di tapak projek.

Pada 23 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan berkata, laporan EIA untuk cadangan projek KXP di Kedah mendedahkan projek tersebut boleh mencemarkan Sungai Muda dan menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah lebih bijak untuk memindahkan projek besar itu ke tempat yang lebih selamat serta jauh dari tebing Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah utama untuk Pulau Pinang dan selatan Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya