PETALING JAYA: Pemergian permata seni, Siti Sarah Raissuddin masih terlalu dalam dirasakan lebih-lebih lagi oleh rakan artis yang secara lebih rapat mengenali Allahyarham.
Penyanyi bersuara gemersik, Misha Omar yang namanya sama-sama naik di samping Allahyarhamketika awal penglibatan dalam industri seni dahulu tidak dapat menahan sebak ketika mendedikasikan lagu Jangan Diucap Selamat Tinggal yang dipopularkan penyanyi kesayangan ramai itu.
Nyanyian Misha itu, yang dikongsikannya di laman Instagramnya baru-baru ini menerima 305,900 jumlah tontonan.
Misha pada ruangan kapsyen meluahkan kerinduan terhadap Allahyarham yang dianggapnya sahabat seperjuangan dalam bidang seni suara.
“Rindu. Akhirnya tersedar bahawa kekuatan nama kau bertahan dan kuat dalam industri ini salah satu sebabnya adalah nama kau selalu parking sebelah nama kawan kau.
“Bagaikan magnet sebab bermula di garisan yang sama dan akhirnya kau seorang-seorang kat sini. Carilah kekuatan sendiri. Kawan kak Chah dah tak ada,” tulisnya.
Misha Omar dan Allahyarham Siti Sarah mula menjalin persahabatan ketika sama-sama menyertai pertandingan Bintang RTM pada tahun 2001.
Kali terakhir dua figura ini berkongsi pentas menghiburkan peminat adalah ketika penganjuran Konsert Soul Sisters pada 2019 bersama penyanyi Noryn Aziz.