Ketika menuntut di Maktab Sultan Abu Bakar Johor, dia sudah aktif bermain muzik bersama kumpulan Silent Talker yang dibarisi rakan-rakan asrama. Namun usia kumpulan ini tidak kekal lama kerana selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia pulang ke kampung halaman di Felda Cahaya Baru, Masai dan menubuhkan kumpulan baharu yang dianggotai rakan-rakan lamanya.
Kumpulan ini diberi nama ‘Malam’ kerana menurutnya mereka sering menerima undangan persembahan pada waktu malam berbanding siang. Genre muzik keras dan berat seperti Deep Purple dan Bon Jovi menjadi pilihan. Selain itu, mereka kerap mencuba nasib menyertai beberapa pertandingan di sekitar Johor Bahru, namun nasib tidak menyebelahi kumpulan ini.
Berita sebuah syarikat rakaman di Singapura mencari artis rakaman sampai ke telinga mereka. Lantas dia dan anggota kumpulan mengambil peluang yang terhidang ini, namun lain pula ceritanya.
“Selesai audition, wakil syarikat rakaman Polygram beritahu yang mereka hanya pilih saya seorang sahaja. Saya keliru, tak mungkin saya akan tinggalkan rakan-rakan lain kerana sebelum ini kami memang bersama. Akhirnya saya tolak tawaran tersebut,” katanya membuka bicara.
Bersama Khabar Legenda, Rahmad Tohak, 52, berkongsi cerita kisah perjalanan karier seninya sejak mula bergelar artis sehingga ke hari ini.
“Ketika berada di kampung saya didatangi oleh seorang rakan, anggota kumpulan Bahtera. Dia menawarkan kami untuk berjumpa majikannya di Kuala Lumpur kerana mereka memang mencari kumpulan baru sebagai artis rakaman.
“Kita ini budak kampung, bila dengar tawaran macam itu teruslah bersemangat. Kami pun pergilah. Mereka bersetuju untuk ambil kami, tetapi syaratnya kena sediakan 10 lagu ciptaan sendiri sebelum sesi rakaman nanti. Jadi kami pun pulang semula ke kampung dan usahalah buat lagu. Sebaik siap sekali lagi kami ke Kuala Lumpur,” ceritanya.
Sebaik melangkah ke studio pihak syarikat rakaman meminta mereka menyampaikan lagu-lagu tersebut.
Pada awalnya mereka menyangka itu hanyalah proses biasa, namun berlaku sebaliknya apabila audition tersebut dimanipulasi oleh syarikat rakaman apabila lagu-lagu yang mereka mainkan ketika itu terus dimuatkan ke dalam album tanpa pengetahuan mereka.
Perkara tersebut langsung tidak dipersetujui. Lebih parah apabila nama kumpulan mereka turut ditukar kepada ‘Gerimis’ tanpa perbincangan. Namun nasi sudah menjadi bubur, album tersebut akhirnya dijual di pasaran.
Yang menyedihkannya rilisan tersebut tidak mendapat sambutan.
“Peminat pun tak tahu tentang kewujudan Gerimis. Sejak keluar album show langsung tiada. Pelbagai perasaan timbul. Kecewa, merajuk semua ada. Saya pulang semula ke kampung menoreh getah. Waktu itu saya rasa seolah-olah diperdaya. Saya beritahu rakan-rakan kalau sampai hari raya akan datang tidak ada show, saya nak tarik diri dari kumpulan.
“Sebagai tanda protes, rambut yang panjang saya potong sehingga pendek. Kemudian saya mohon kerja di kilang memproses minyak sawit di Pasir Gudang sehinggalah saya dapat tahu seorang wartawan hiburan datang ke rumah mencari saya.
“Sebaik berjumpa dengannya, dia beritahu ada sebuah kumpulan yang ingin mencari penyanyi baru kerana penyanyi asal keluar dari kumpulan. Katanya, kumpulan ini sudah ada satu album. Saya hanya tertawa sinis kerana bagi saya tiada apa yang mengagumkan kerana saya juga pernah ada satu album,” katanya tertawa.
Mega tidak ada band leader
Pada awalnya dia langsung tidak mengendahkan tawaran tersebut, namun ibunya bersungguh-sungguh agar dia pergi berjumpa mereka. Demi tidak mahu mengecewakan harapan ibunya, malam itu juga dia menunggang motosikal ke lokasi studio yang terletak di batu lima, Johor Bahru, tempat di mana dia perlu berjumpa dengan kumpulan tersebut.
“Bayangkan hampir pukul 3 pagi barulah mereka muncul. Mula-mula saya tidak perasan siapa mereka, tapi dress up memang dahsyat. Rambut pula semuanya panjang. Bila tengok betul-betul saya terkejut. Rupa-rupanya anggota Mega. Waktu itu komposer Allahyarham Rahim Othman dan L.Y. juga ada bersama.
“Ayat pertama Rahim Othman ketika itu adalah, “kau boleh nyanyi lagu Mega tak?” Saya kata boleh. Cuma saya dapat rasakan anggota Mega seakan tidak selesa dengan saya. Mungkin rambut dan imej saya yang tidak sama seperti mereka,” katanya.
Menurut bapa kepada enam orang anak ini, walaupun sudah melakukan yang terbaik, namun dia tidak diberikan jawapan dan kata putus. Tetapi bakatnya sebagai penyanyi sering ditagih apabila Mega melakukan persembahan di sekitar Johor.
Katanya, apa yang mendukacitakan setiap kali melakukan persembahan bersama Mega, dia sering disabotaj kerana anggota lain seakan tidak merestui kemunculannya. Allahyarham Rahim Otman juga sering tidak berpuas hati dengan prestasinya yang tidak mencapai piawaian seperti yang dikehendakinya.
“Maklumlah, kita ini kerja tiga syif, bila tak cukup tidur suara memang ‘koyak’. Saya dapat rasakan mereka tidak gembira dan tidak suka saya, tetapi mungkin mereka tiada pilihan lain ketika itu. Hendak jadikan rezeki akhirnya saya ditawarkan menganggotai Mega setelah hampir enam bulan menunggu.
“Mereka minta saya berhenti kerja serta-merta. Bila fikir rasa beruntung pula, maklumlah gaji kerja kilang waktu itu hanya RM245.50 sebulan, mereka pula offer RM1,000 sebulan. Mega ni tidak ada konsep band leader. Semua keputusan, hala tuju dan perancangan terletak di tangan pihak pengurusan,” jelasnya.
Jodoh bersama Mega akhirnya termetrai. Menjulang nama bersama Mega menjadikan namanya terus dikenali, apatah lagi lagu popular seperti Takdir dan Waktu, Bayangan Gurauan dan Nina Karina menjadi kegilaan.
Namun, panas tidak sampai ke petang. Walaupun berjaya menghasilkan empat album bersama Mega, namun krisis dalaman dan perbalahan melibatkan isu gaji, royaliti dan persembahan mula menjadi konflik sehingga dia digugurkan.
Sebaik angkat kaki meninggalkan Mega, dia akhirnya mula menceburi pelbagai kerjaya terutamanya dalam bidang pengurusan dan perniagaan. Tidak kekok untuk belajar sesuatu yang baharu, baginya setiap pengalaman adalah asas penting untuk dia mencuba sesuatu yang baharu dalam kehidupan.
“Bila ada pengalaman macam-macam kerja boleh dilakukan. Sebaik keluar dari Mega saya bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam, jurujual kereta, serta terlibat dalam pelbagai perniagaan seperti makanan dan jualan langsung. Maknanya berdasarkan pengalaman lalu kita mampu teroka sesuatu baharu untuk capai kejayaan pada masa depan,” katanya mengakhiri perbualan.