Katil ICU rawat pesakit Covid-19 di HPP kini 100 peratus penuh - Utusan Malaysia

Katil ICU rawat pesakit Covid-19 di HPP kini 100 peratus penuh

TEO Gim Sian (tengah) dan Chua Sui Hau (dua dari kiri) pada majlis sumbangan kontena sejuk beku bagi menyimpan mayat di Jabatan Forensik HPP, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini bagi merawat pesakit Covid-19 sudah mencapai 100 peratus berikutan peningkatan kes yang berlaku di negeri ini.

Bagaimanapun Pengarah HPP, Datuk Dr. Teo Gim Sian berkata, HPP kini sedang dalam perancangan untuk menggunakan katil di unit atau wad lain bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan rapi.

Dalam masa sama katanya, HPP juga akan menggunakan katil-katil di wad lain untuk merawat pesakit biasa Covid-19 berikutan peningkatan jumlah pesakit itu ketika ini.

“Kita akan berusaha keras dan tidak akan berputus asa dalam menghadapi gelombang kes pesakit Covid-19 yang sedang meningkat di negeri ini.

“Kita telah membuat persediaan dan akan memperuntukkan sebanyak mungkin katil untuk pesakit Covid-19 termasuk menggunakan katil di wad-wad sedia ada di HPP,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan kontena sejuk beku bagi menyimpan mayat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) One Hope Charity & Welfare di Jabatan Forensik HPP, di sini hari ini.

Kontena bernilai RM90,000 itu diserahkan Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau dan turut dihadiri Ketua Jabatan Perubatan Forensik HPP, Datuk Dr. Zahari Noor.

Dalam pada itu, Dr. Gim Sian turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membuka Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sebagai pusat rawatan pesakit Covid-19.

Jelasnya, pusat itu yang dijangka mula beroperasi minggu depan mampu menempatkan sehingga 100 pesakit Covid-19 sekali gus dapat mengurangkan kesesakan dan memberi kelegaan kepada HPP dalam merawat pesakit berkenaan.

“Selain itu, HPP juga bekerjasama dengan empat buah hospital swasta yang mana pesakit-pesakit bukan Covid-19 boleh dihantar untuk menerima rawatan di hospital swasta berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zahari berkata, kontena sejuk beku sumbangan One Hope Charity & Welfare itu dapat menyimpan sehingga 50 jenazah dan mayat sebelum urusan pengebumian dilaksanakan.

Katanya, sumbangan kontena sepanjang kira-kira 12 meter itu dapat menampung kapasiti 200 ruang simpanan jenazah atau mayat sedia ada di Pulau Pinang ketika ini iaitu masing-masing di HPP dan Hospital Kepala Batas.

“Buat masa ini kapasiti simpanan mayat di kedua-dua hospital berkenaan masih mencukupi, namun kita perlu bersiap sedia dan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor misalnya sekiranya kes-kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini meningkat mendadak,” katanya.

Pulau Pinang semalam mencatatkan sebanyak 2,078 kes baharu positif Covid-19 dengan 31 kematian iaitu angka tertinggi pernah direkodkan di negeri itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya