KUALA TERENGGANU: Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Kasemani Embong dilantik sebagai pengarah kesihatan baharu negeri berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Dr. Nor Azimi Yunus yang bertukar ke Pahang pada 23 Julai lalu.
Katanya, Kasemani merupakan pakar perubatan kesihatan awam yang berpengalaman luas dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan.
“Beliau pernah bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kesihatan Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Klinik Kesihatan Kuala Telemong di Hulu Terengganu.
“Selamat menjalankan tugas dan amanah, semoga kecemerlangan Jabatan Kesihatan Terengganu dapat diteruskan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.