PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tangki dari Singapura yang berlabuh tunggu tanpa kebenaran di kedudukan 27.8 batu nautika barat daya Sekinchan, semalam.
Hasil pemeriksaan mendapati, kapal yang berdaftar di Norway itu membawa 20 kru lelaki terdiri daripada warga Norway, Rusia, Latvia dan Filipina.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, penahanan ke atas kapal tangki ‘Clipper Hermod’ itu berikutan pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (Swasla) dan disalurkan kepada bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan OP Benteng Laut dan Op Ehsan untuk diperiksa.
“Kapal yang berdaftar di Norway itu membawa 20 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia di antara 28 hingga 58 tahun terdiri daripada warga Norway, Rusia, Latvia dan Filipina serta mempunyai dokumen diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan, kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura dan singgah berlabuh di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat yang berpangkalan di Norway,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Rosli memberitahu, siasatan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia. – UTUSAN ONLINE