TOKYO – Pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS) tewas mengejut kepada musuh tradisi, Kanada pada aksi separuh akhir temasya Sukan Olimpik 2020 dengan keputusan 0-1, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Kashima itu, skuad AS yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2019 gagal mempamerkan aksi terbaik apabila Kanada dilihat lebih banyak mengusai permainan.
Skuad kendalian Bev Priestman berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 yang disempurnakan oleh Jessie Fleming.
Lebih manis, ia adalah kemenangan pertama Kanada ke atas pasukan The Stars and Stripes itu dalam tempoh 20 tahun selepas kali terakhir mencatat kemenangan sejak Mac 2001.
Kekalahan itu menyaksikan AS akan bermain dalam aksi penentuan pingat gangsa pada Khamis ini manakala Kanada bakal turun Jumaat bagi perebutan pingat emas dan perak.
Kedua-dua pasukan ini akan bertemu sama ada Jepun atau Sweden yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir malam ini. – AGENSI