Menggapai cita-cita bergelar penghibur di kala usia meniti remaja merupakan impian buat mereka yang mempunyai bakat. Namun bukan semua bernasib baik, tambah pula jika ilmu masih cetek di dada. Walau hakikatnya senang dikenali, tetapi hasilnya adalah kesungguhan. Ironinya sama ada sulit untuk dilaksanakan atau mudah diterima peminat.
Tetapi jika peluang itu muncul, gapailah sebaik mungkin. Risiko adalah pertaruhan biasa buat anak seni. Bak kata pepatah, jika untung sabut pastinya timbul. Itulah cabaran dan dugaannya.
Generasi baharu mungkin tidak mengenali penghibur kelahiran Bayan Baru, Pulau Pinang ini. Namun lagu Selendang Rindu nyanyiannya bukanlah asing, malah sehingga kini sering diputarkan saban hari di corong radio. Bersama Khabar Legenda, figura cantik manis, Rohayu Majid, 49, berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang bergelar anak seni.
“Ketika di bangku sekolah menengah lagi saya aktif menyanyi. Pelbagai pertandingan nyanyian saya sertai termasuklah menganggotai beberapa kumpulan antaranya Marin Polis Pulau Pinang, Pusat Belia Jelutong dan Kombo RTM Pulau Pinang.
“Impian jadi artis rakaman bermula apabila berjumpa Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. Dia offer saya rakam album. Katanya memang nak cari penyanyi wanita dari Pulau Pinang. Waktu itu memang terkejut, maklumlah baru tingkatan tiga. Tawaran itu umpama orang mengantuk disorongkan bantal,” katanya membuka bicara.
Menurut anak bongsu dari lapan beradik ini, impiannya memiliki album sendiri akhirnya terlaksana pada 1989 apabila rilisan pertama berjudul Selendang Rindu berjaya diterbitkan. Popularitinya melonjak sekelip mata. Dia tidak menyangka album tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada peminat sehingga jualannya mencatat angka yang memberangsangkan.
Sebagai penyanyi baharu yang mencipta nama, tawaran pentas yang diterima memang di luar jangkaan. Bukan sekadar dalam negara, malah sehingga merentas ke negara jiran Indonesia. Atas kesibukan itu dia akui mula alpa dengan pelajaran.
“Memang seperti kejutan budaya. Setiap hari sibuk dengan show. Saya langsung tak ada masa nak pegang buku sekolah. Waktu itu memang seronok dengan menyanyi sahaja,” katanya.
Kejayaan album pertama faktor utama syarikat rakaman tidak menunggu lama untuk menerbitkan rilisan keduanya yang mengetengahkan lagu-lagu duet terbaik nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Saloma berjudul Seindah Budimu yang dinyanyikan semula bersama artis popular, Ibnor Riza.
Selesai dua album bersama TBS Records, dia kemudian berhijrah ke syarikat rakaman Life Records dan kembali menyambung populariti dengan menerbitkan dua buah album solo bertajuk Hadirmu dan Cinta Kopi Susu.
“Walaupun sudah bergelar artis dan sibuk dengan undangan pentas namun saya ini masih dalam pemantauan keluarga. Ibu akan sentiasa bersama saya. Ke mana saya pergi dia akan ikut. Dia takkan lepaskan saya seorang diri.
“Walaupun usia masih mentah tetapi saya langsung tidak kekok berdepan dengan penonton kerana sejak dari bangku sekolah lagi saya sudah biasa menyanyi di pentas. Cuma kali ini bezanya saya sudah punyai peminat yang merupakan tunjang kejayaan ketika itu. Merekalah yang sokong, beli album dan letak saya di tahap itu,” katanya.
Mengakui kekuatan lagu-lagu nyanyiannya adalah faktor utama yang menjulang popularitinya ketika itu, dia tidak pernah lupa berterima kasih kepada insan-insan hebat yang sentiasa berada di belakangnya seperti pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit album yang sentiasa memberikan karya terbaik buat dirinya.
“Komposer Datuk Seri Ahmad Nawab dan Allahyarham Adnan Abu Hassan memang utamakan kualiti. Mereka amat tegas dalam kerja, terutamanya ketika proses rakaman di studio. Mereka mahu kita hayati melodi bersungguh-sungguh dengan sepenuh jiwa kerana itu adalah kekuatan sesebuah lagu,” katanya.
Tidak mahu letak sebarang harapan
Bercerita tentang pengalamannya ketika menjadi artis di usia muda, penyanyi lagu Kau Penggoda ini sekadar tertawa. Katanya, dia sentiasa menyimpan pelbagai kenangan indah dan manis untuk dijadikan momen berharga dan kenangan sepanjang hidup.
Bukan ingin menafikan setiap kenangan pahit yang dilalui, tetapi jika boleh dia ingin cuba memadamkan dari kamus kehidupan, walaupun ada di antaranya masih meninggalkan kesan dan parut sehingga kini.
“Dahulu mana ada media sosial seperti hari ini. Semuanya diluahkan melalui surat. Pelbagai ragam peminat saya jumpa, kebanyakannya curahan isi hati dari peminat lelaki. Maklumlah waktu itu kita masih muda remaja.
“Kenangan pahit yang saya tidak boleh lupa sehingga kini apabila tidak dapat penuhi permintaan terakhir arwah ibu saudara saya. Dia adalah insan yang sentiasa menyokong karier saya, namun tidak dapat melihat kejayaan saya apabila dijemput Ilahi ketika saya berada di studio rakaman untuk proses mixing album pertama. Hasratnya untuk lihat album saya keluar tidak kesampaian,” katanya.
Pengalaman itu mendewasakan
Sekian lama di perantauan, penyanyi lagu Gelora Rindu ini akhirnya mengambil keputusan kembali bermastautin di kampung kelahirannya, di samping membantu mengusahakan perniagaan makanan yang diusahakan ahli keluarganya di sebuah premis dalam pasar raya terkenal di Pulau Pinang.
Walaupun perniagaan yang diusahakan sukses, namun pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini menyebabkan perniagaannya terpaksa ditutup sementara waktu berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak membenarkan pelanggan menjamu selera di kawasan premis.
“Insya-Allah, jika pandemik ini berakhir nanti bolehlah rancang untuk buka semula. Sekarang ini terpaksalah berehat dulu. Bukan setakat orang berniaga, malah kerjaya apa sekali pun memang turut terkesan,” katanya.
Ditebak pertanyaan statusnya, penyanyi kecil molek ini sekadar tertawa kecil. Nampak seakan cuba mengelak, namun akhirnya dia berterus terang. Tuturnya jodoh itu bukannya tidak pernah muncul, tetapi ada ketikanya perlu membuat keputusan tepat demi kehidupan mendatang.
“Saya tidak pernah tolak kehadiran lelaki dalam hidup. Tetapi pengalaman juga mendewasakan kita. Sebelum ini pernah juga saya berkawan, namun banyak yang auta. Depan kita mati-mati mengaku bujang, bila selidik rupanya laki orang.
“Susah nak cari yang faham dan kena dengan jiwa. Jadi dalam usia begini saya malas nak letakkan sebarang harapan. Kalau ada jodoh tu Alhamdulillah. Saya tiada masalah pun. Lagipun saya masih punya ramai anak-anak saudara untuk menumpang kasih,” katanya mengakhiri perbualan.