KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota di sini, hari ini.
Difahamkan, pertemuan itu bagi mempersembah senarai nama jemaah Kabinet untuk mendapat perkenan Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong kini berada di Kuantan selepas Seri Paduka berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah membabitkan mangsa banjir di Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Acheh di Pekan, dekat sini, semalam.
Pada 23 Ogos lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata akan mengumumkan barisan menteri Kabinet kerajaan baharu minggu ini.
Ismail Sabri berkata, beliau akan mempersembah senarai menteri Kabinet itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Seri Paduka.
Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Sabtu lalu.
Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan.
Mengikut surat akuan berkenaan, seramai 114 ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan. – UTUSAN ONLINE