Jumlah katil hospital Pulau Pinang termasuk di ICU mencukupi - Utusan Malaysia

Jumlah katil hospital Pulau Pinang termasuk di ICU mencukupi

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) ketika merasmikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat Pulau Pinang di Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jumlah katil serta kemudahan Covid-19 termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital Pulau Pinang kini mencukupi bagi menampung pesakit.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah mengambil langkah segera menambah katil serta keperluan di ICU selepas berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Ketika ini juga jelasnya, Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Bukit Mertajam dijadikan hospital hibrid bagi rawatan Covid-19 manakala Hospital Kepala Batas telah diubah suai sepenuhnya menjadi pusat rawatan serta pengurusan pesakit Covid-19.

“JKNPP juga telah menambah katil serta ruang di ketiga-tiga hospital ini termasuk keperluan di ICU dan memantau keadaan dalam tempoh seminggu bermula Khamis lalu serta akan melakukan penambahbaikan segera jika ada kekurangan,” katanya ketika ditemui di Komtar di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow merasmikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat Pulau Pinang.

Sebelum ini, Kon Yeow memaklumkan penggunaan katil Covid-19 di wad ICU di hospital-hospital Pulau Pinang hampir mencapai 100 peratus susulan peningkatan kes dicatatkan di negeri ini.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri akan terus memastikan langkah-langkah sistematik diteruskan selaras dengan hasrat Pulau Pinang mencapai 100 peratus suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menjelang awal September.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, beberapa program telah diatur untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena Bulan Kemerdekaan di Pulau Pinang yang bermula hari ini.

“Antara program yang telah dirancang ialah pemasangan bendera di premis-premis, Info on Wheels (IOW) dan penyerahan Jalur Gemilang yang akan diadakan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.

“Bagaimanapun, pelaksanaan program atau aktiviti berkenaan tertakluk kepada keadaan semasa Covid-19,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya situasi Covid-19 tidak menjadi penghalang kepada semua pihak untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan patriotisme yang ada dalam diri rakyat negeri ini.

“Semua daripada kita tidak mempunyai pilihan lain selain terus berganding bahu dengan wadah dan teras yang kukuh sebagai lambang penyatuan kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya