KUALA LUMPUR: Pengacara, Anna Aljuffrey mengesahkan jodohnya bersama radio THR GEGAR tidak berpanjangan kerana telah ditamatkan kontrak baru-baru ini.
Jelas bekas penyampai radio ini, selepas lima tahun ke udara dia kini menggalas tugas baharu sebagai hos program Go Shop.
“Ya betul jodoh tidak panjang bersama Gegar. Bermula May 2016 Anna menjadi keluarga THR GEGAR, Permata Pantai Timur. Anna sudah ditamatkan kontrak dan kini tidak lagi bersama radio Gegar.
“Perkara biasa untuk mana-mana stesen radio swasta untuk menukar barisan penyampai mengikut selera pendengar, trend terkini, strategi pemasaran dan hal berkaitan bisnes. Kalau tidak tahun ini, mungkin tahun hadapan atau tahun berikutnya.
“Insya-Allah boleh tengok Anna di Go Shop, dengar suara Anna di iklan-iklan radio atau TV dan mungkin akan bertemu lagi di corong radio jika ada rezeki kita,” ujarnya di Instagram.
Dalam perkongsian itu, Anna merakamkan banyak ilmu dan pengalaman yang tidak akan terlupakan sepanjang dia bertugas.
“Tapi apa pun, ini merupakan peluang untuk melangkah lebih jauh lagi. Terima kasih di atas semua sokongan selama ini. Semoga kita semua dicurahkan rezeki dan di permudahkan segala urusan, perkenankanlah,” akhirinya.