Jiwa Merdeka tonjol pelakon cilik - Utusan Malaysia

Jiwa Merdeka tonjol pelakon cilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Bagi menghayati semangat kemerdekaan tahun ini, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dengan kerjasama Nik Network telah menghasilkan sebuah video patriotik pendek, Jiwa Merdeka.

Menurut kementerian dalam satu kenyataan, penghasilan video itu memfokuskan kepada bagaimana komoditi menyumbang kepada negara dan membuat kita bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Pastinya nikmat ini adalah hasil perjuangan orang-orang terdahulu yang membolehkan masyarakat dapat mewarisi sebuah negara yang begitu kukuh seperti hari ini.

“Perlu diakui Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mewah dengan sumber hasil perladangan dan kejayaan menguruskan sumber itu adalah kebijaksanaan kerajaan hari ini.

“Perkembangan pesat sektor perladangan dan komoditi di Malaysia boleh dikaitkan dengan keadaan alam semula jadi yang mempunyai tanah yang subur, corak taburan hujan yang baik dan bekalan air mencukupi untuk pertumbuhan tanaman,”katanya.

Selain itu, berkongsi lanjut, video berdurasi lima minit itu telah dilakonkan oleh pelakon cilik seperti Nik Harraz Nik Yusoff, Nik Qistina Hatifah dan Rahul Iskandar yang berbakat menyerlahkan setiap watak yang diberikan.

Malah, menerusi video itu diharapkan dapat membuka minda bagaimana hasil komoditi berjaya menyuntik semangat patriotik sehingga negara mampu mengeluarkan produk buatan sekaligus serta menjana ekonomi negara.

“Sebelum merdeka sehingga hari ini, struktur industri komoditi negara telah mengalami perubahan daripada sebuah negara pengeluar bahan mentah komoditi kepada pengeluar produk-produk hiliran bernilai tambah tinggi yang berorientasikan pasaran.

“Lebih membanggakan industri komoditi negara kekal berdaya saing dan menyumbang kepada pencapaian hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

“Malah momentum pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara terus stabil disokong oleh eksport yang kukuh dan peningkatan harga komoditi,”katanya.

Jiwa Merdeka mengisahkan Apit lakonan Nik Harraz yang tidak pernah merasai hidup sebelum Merdeka dan dia mencari erti kemerdekaan yang sekian tersirat dalam kesederhanaan kehidupan hariannya.

Apit sedar kekayaan komoditi bahan-bahan mentah negara seperti sawit, getah dan kayu-kayan menjadi inspirasi kepada dirinya.

Video tersebut turut mendapat kerjasama Malaysian Palm Oil Council, Malaysian Rubber Council dan Malaysian Timber Council.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya