PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua cadangan yang disyorkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) diharap dapat membantu kerajaan dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat kedua MPN yang dipengerusikan beliau hari ini mempertimbangkan pelbagai aspek di dalam PPN.
Kata beliau, ini termasuk membincangkan dengan terperinci dan mengambil kira pelbagai data dan pandangan pakar-pakar kesihatan dan ekonomi berhubung kadar vaksinasi, status vaksinasi individu dan kapasiti unit rawatan rapi (ICU).
“(Turut dibincangkan ialah) keperluan untuk sektor perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam Facebook beliau.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat kedua MPN dihadiri ahli-ahli MPN terdiri daripada pakar pakar sektor kesihatan, ekonomi dan sosial.
Mereka ialah, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Professor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman; Tan Sri Azman Mokhtar; Datuk Michael Kang dan Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.
Selain itu ialah Datuk Seri Wong Chun Wai; Tan Sri Anthony Francis Fernandes; Datuk Dr. Hartini Zainudin dan Prof. Madya Dr. Sivakumar Thurairajasingam.