GEORGETOWN: Kes positif Covid-19 khususnya melibatkan jangkitan tahap serius di Pulau Pinang dijangka menurun pada minggu ketiga bulan depan.
Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr. Kwanhathai Darin Wong berkata, unjuran itu berdasarkan sasaran kesemua atau 100 peratus populasi dewasa di negeri ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang tempoh tersebut.
Menurut beliau, kes positif Covid-19 akan menunjukkan penurunan sekiranya sekurang-kurang 80 peratus penduduk Pulau Pinang melengkapkan kedua-dua dos vaksin tersebut.
“Untuk menyaksikan penurunan kes akan mengambil sedikit masa, tetapi jika semua penduduk mendapat vaksin, selepas dua minggu kita dapat lihat imunisasi dalam kalangan penduduk meningkat.
“Vaksin memang tidak dapat melindungi daripada dijangkiti Covid-19, tetapi dapat mengurangkan kebarangkalian mendapat simptom yang lebih serius.
“Sebab itu amat penting untuk kita mengambil vaksin tidak kiralah apa jenis sekali pun apabila ditawarkan, bukan hanya untuk perlindungan diri sendiri, tetapi juga orang di sekeliling,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam Pulau Pinang mencatatkan 1,378 kes positif Covid-19 baharu menjadikan kes kumulatif sehingga kini sebanyak 82,979 dengan 565 kes kematian.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Rafidah Md. Noor berkata, kesemua hospital awam di Pulau Pinang ketika ini sudah mencapai kapasiti 100 peratus penggunaan bagi rawatan pesakit Covid-19.
Kata beliau, jumlah itu termasuk sebanyak 876 katil untuk rawatan pesakit tidak kritikal serta 70 katil unit rawatan rapi (ICU).
“Bagi menghadapi pertambahan kes dan memastikan rawatan kepada pesakit khususnya kategori tiga, empat dan lima, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam kini juga telah dijadikan hospital untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya. – UTUSAN