SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru umat Islam agar mempersiapkan diri bagi mendepani cabaran zaman dan menyedari bahawa mengulang-ulang kaedah yang sama serta mengharapkan hasil yang berbeza merupakan suatu kebodohan.
Menurut beliau, intipati daripada peristiwa Hijrah bermula daripada penindasan umat Islam di bumi Mekah yang setelah diseksa, dipulaukan serta diboikot perniagaan serta kelangsungan hidup mereka.
Bagaimanapun ujar beliau, golongan Muslim awal dengan penuh tanggungjawab berterus-terusan mencari tapak yang baru dengan kepentingan menyebarkan dakwah Islam tidak pernah terhenti dengan akhirnya mencapai kemuncaknya menerusi perpindahan penuh susah payah namun berstrategi ke Madinah.
“Dari zaman ke zaman, peristiwa ini sering menjadi panduan spiritual bagi mana-mana gerakan Islam, dan iktibar untuk umat Islam amnya.
“Banyak yang dapat dipelajari, sama ada yang tersurat dan tersirat, daripada perincian persediaan, ketabahan dalam menghadapi derita yang merudung serta mesej-mesej yang didasari rasa kebertanggungjawaban untuk membawa keluar umat manusia dari kegelapan menuju cahaya, ‘min Adzulumat ila Nur’,” katanya menerusi perutusan Maal Hijrah 1443H semalam.
Amirudin menambah, kebetulan bulan Ogos merupakan bulan Kebangsaan dan jatuh pada 31 Ogos ini dan sepertimana ikoniknya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah, begitulah pentingnya peristiwa Hijrah ini buat umat Islam seluruhnya.
“Kebetulan bulan ini juga merupakan bulan kebangsaan. Sepertimana ikoniknya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu daripada Portugis, Inggeris dan Jepun yang kemudiannya bergabung bersama wilayah Sabah dan Sarawak dan menjadi Malaysia, begitulah pentingnya peristiwa Hijrah ini buat umat Islam seluruhnya.
“Saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1443H kepada semua umat Islam terutamanya di Selangor. Semoga kita bersedia berubah ke arah yang terbaik di tahun baru ini, insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE