KUALA LUMPUR : Berikutan laporan polis yang dibuat terhadap seorang bekas rakan baiknya semalam, penyanyi, Andi Bernadee, 30, hari ini bagaimana pun terkejut apabila sebilangan rakan-rakan artisnya yang lain telah menjadi mangsa tuduhan warganet.
Menurut Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana dia telah menyerahkan segara urusan siasatan kepada pihak polis untuk mengendalikan kes tersebut.
“Hari ini, terkejut saya, ada rakan-rakan artis yang telah dituduh berikutan kes pecah amanah saya.
“Saya mohon kepada jabatan netizen, hentikanlah aktiviti fitnah memfitnah untuk mengisi masa lapang.
“Saya dah serahkan semuanya kepada pihak polis dan peguam,”katanya.
Andi berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya hari ini.
Selain itu, menerusi hantaran tersebut, Andi juga memohon agar peminat dan pengikutnya mendoakan dirinya supaya dapat menegakkan kebenaran dan haknya setelah berhempas pulas demi mencari rezeki untuknya dan keluarga.
Pelbagai reaksi diterima Andi menerusi komen-komen yang ditinggalkan oleh rakan dan peminatnya di ruangan komen.
Dalam pada itu, Andi di Instagram Story (IGS) juga ada memuat naik tangkap layar profil Instagram penyanyi, Amir Hassan dengan penjelasan ringkas.
“‘Rakan baik’ saya bukan dia,” tulisnya di IGS.
Semalam, Andi membuat satu laporan polis berhubung pecah amanah dilakukan seorang rakan baik yang menyebabkan kerugian RM70,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Dang Wangi.
Menurut Andi,individu terbabit telah dikenalinya lebih dua tahun dan perbuatan tersebut menyebabkan dirinya hilang arah, terutama putus punca kewangan, khususnya pada waktu pandemik Covid-19.