GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinasihatkan tidak melantik Timbalan Perdana Menteri serta anggota Kabinet yang terdiri daripada golongan ‘kluster mahkamah’ atau ‘kluster katak’ sekiranya mahu kerajaan pimpinannya bertahan lama.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, Kabinet baharu kerajaan pimpinan Ismail Sabri perlu dianggotai oleh pemimpin yang bersih serta berwibawa untuk menstabilkan semula situasi politik negara yang bercelaru pada masa ini.
“Ikhlas saya nasihatkan sebagai orang lama, mereka yang perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta anggota Kabinet bukan dalam kalangan mereka yang terdiri daripada ‘kluster mahkamah’ serta ‘kluster katak melompat’ sebelum ini.
“Pemimpin sebegini perlu Ismail Sabri elakkan di dalam Kabinet beliau bagi mengelakkan risiko dijatuhkan seperti mana Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail Sabri yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu akan mengumumkan barisan Kabinetnya minggu ini.
Selain itu, desas-desus mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri juga sedang bertiup kencang dengan beberapa nama pemimpin seperti Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof disebut sebagai calon.
Menurut Mohd. Yussof, pelantikan anggota Kabinet juga mesti dilakukan dengan tepat, penuh berhati-hati dan tidak dilihat sebagai habuan politik semata-mata.
“Pelantikan anggota Kabinet mesti berlandaskan keupayaan pemimpin tersebut dan Ismail Sabri perlu mengelakkan berlakunya pilih kasih.
“Ini kerana kerajaan yang baharu terbentuk ini merupakan gabungan kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu serta lain-lain parti yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
“Elakkan daripada membuat sebarang keputusan yang membuatkan mana-mana pihak berkecil hati dan pastikan tegas dalam setiap keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu beliau menambah, jumlah anggota Kabinet baharu juga tidak perlu terlalu besar seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini oleh Muhyiddin iaitu seramai kira-kira 70 orang Menteri dan Timbalan Menteri.
“Separuh daripada jumlah Kabinet sebelum ini mencukupi untuk melaksanakan tugas dan dasar kerajaan memandangkan kita turut mempunyai penjawat awam yang boleh membantu kerajaan,” katanya.