SHAH ALAM: Orang ramai termasuk peniaga dinasihatkan memasang Jalur Gemilang dengan cara yang betul dan tidak menggunakan bendera yang lusuh dan koyak.
Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), nasihat tersebut diberi bagi menerapkan rasa bangga dan cintakan negara Malaysia dalam kalangan warga bandaraya ini.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-64, MBSA menyeru kepada orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang masih elok di kediaman masing-masing bagi menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta, sekolah, kilang, tadika dan premis lain juga digalakkan untuk memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan hari kebangsaan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahrin berkata, pemasangan Jalur Gemilang diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat cinta kepada negara dan menaikkan semangat patriotik di kalangan komuniti setempat di dalam kawasan pentadbiran MBSA. – UTUSAN ONLINE