PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa atlet-atlet Malaysia menjadikan semangat juang yang ditonjolkan 30 wira dan wirawati negara di Sukan Olimpik 2020 Tokyo sebagai sumber inspirasi.
Jelas beliau, kejayaan layak di temasya berprestij dunia itu adalah satu pencapaian cukup besar kepada diri seseorang atlet, apatah lagi jika berjaya merangkul pingat
Bagaimanapun katanya, kejayaan tersebut tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang keras.
“Saya harap setiap atlet Malaysia melihat perjuangan Kontinjen Malaysia Tokyo 2020 sebagai satu inspirasi untuk teruskan usaha dalam sukan mereka.
“Kejayaan datang bersama pengorbanan dan kadang kala amat senang untuk terlepas dari genggaman tetapi aksi berani dan perjuangan mereka yang menyemarakkan semangat setiap rakyat Malaysia.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua atlet, jurulatih, pegawai dan pengurus pasukan serta barisan pengurusan tertinggi Kontinjen Malaysia yang sentiasa memberikan komitmen tertinggi untuk mengangkat sukan Malaysia ke pentas dunia.
“Saya amat berterima kasih kepada wira dan wirawati negara kerana telah memberikan yang terbaik di temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 dan saya amat bangga dengan segala kejayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kontinjen negara berjaya mengakhiri temasya di Tokyo yang berakhir Sabtu lalu, dengan membawa pulang satu pingat perak menerusi Datuk Azizulhasni Awang dalam acara basikal keirin dan gangga disumbang oleh beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Pencapaian terbaik skuad negara di pentas Olimpik adalah di Rio 2016 dengan membawa pulang lima pingat iaitu empat perak dan satu gangsa.