PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara diminta menambah pertuduhan ke atas kes kecederaan kanak-kanak istimewa dan yatim piatu, dikenali Bella bagi menuntut pembelaan sewajarnya.
Perkara itu disampaikan Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) Untuk Bella iaitu gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi memorandum kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.
Menurut GMK, Peguam Negara diminta menilai kembali kertas pertuduhan berdasarkan laporan polis yang dibuat salah seorang penghuni yang tinggal bersama orang kena tuduh (OKT) di kondominium peribadi sejak Oktober 2020 yang memberikan keterangan tentang kejadian sebenar berlaku dan perbuatan-perbuatan OKT terhadap Bella sepanjang beliau tinggal bersama OKT di kondominium tersebut.
Katanya, setakat ini seramai lima orang bekas penghuni dari Rumah Bonda yang diasaskan OKT membuat laporan polis yang mana jelas menyatakan bahawa mereka menyaksikan sendiri penganiayaan yang dibuat ke atas Bella di rumah perlindungan tersebut sekitar Julai hingga Oktober 2020.
“Walau bagaimanapun, keterangan mereka tidak dimasukkan ke dalam siasatan ini apabila pertuduhan kepada OKT terhadap Bella hanya melibatkan garis masa dari Februari sehingga Jun tahun ini sahaja,” katanya selepas menyerahkan memorandum itu di sini hari ini.
GMK berkata, pertuduhan yang dikenakan kepada tertuduh pada 20 Ogos lalu adalah di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, dan secara khususnya iaitu pengabaian.
Namun, GMK memohon pertimbangan Peguam Negara untuk menambahkan dan atau meminda pertuduhan di bawah Seksyen yang sama iaitu penganiayaan berdasarkan fakta-fakta tersebut.
Katanya, pada 20 Ogos lalu iaitu selepas pertuduhan dibuat, mahkamah mengeluarkan perintah dimana OKT dilarang menggangu saksi-saksi pendakwaan.
Namun, jelas GMK, dua hari selepas itu, berdasarkan laporan polis salah seorang saksi, OKT didapati melanggar arahan mahkamah dengan mengganggu dan berjumpa salah seorang individu berkemungkinan sebagai saksi kes memandangkan saksi tersebut membuat laporan polis terhadap OKT sebelum ini yang mengaitkan OKT dengan kecederaan terhadap mangsa.
“OKT juga cuba mempengaruhi individu ini untuk menarik kembali laporan polis yang pernah dibuat ke atas OKT dan dalam masa yang sama mencari saksi lain untuk dihubungi. Laporan polis dibuat oleh saksi itu berkenaan gangguan dan desakan OKT pada 23 Ogos lalu.
“Justeru, GMK menggesa agar Pendakwaraya di Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap OKT. Kami memohon agar pihak Pendakwaraya membuat permohonan supaya jaminan yang diberikan ke atas OKT sebelum ini dilucutkan serta merta,” katanya.
GMK untuk Bella juga menyarankan agar saksi-saksi kes ini diberikan jaminan keselamatan daripada ancaman fizikal serta emosi kerana mereka perlu fokus dan bersedia untuk memberi keterangan sejujurnya di mahkamah pada hari perbicaraan kelak. – UTUSAN ONLINE